LLM, PCSB giat pulihkan aplikasi TuJu susulan lonjakan pengguna
KAJANG – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang giat melaksanakan usaha pemulihan dan penambahbaikan aplikasi navigasi tempatan TuJu susulan gangguan teknikal yang berlaku selepas peningkatan ketara jumlah pengguna.
Peningkatan itu berlaku susulan saranan Perdana Menteri supaya orang ramai mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya bersama PCSB sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem serta meningkatkan kapasiti aplikasi bagi menampung pertambahan pengguna.
“Kami bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, pihaknya turut meneliti maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan serta pengalaman menggunakan aplikasi berkenaan.
“Usaha untuk penambahbaikan akan terus dilakukan bagi memastikan TuJu mampu menyediakan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna,” tambahnya.
Aplikasi TuJu, iaitu aplikasi navigasi lebuh raya telah diperkenalkan pada 26 November 2025 oleh PCSB dengan kerjasama LLM.
Selain menyediakan maklumat perjalanan, aplikasi itu turut menawarkan maklumat berkaitan keadaan trafik, kemudahan di lebuh raya serta bantuan kecemasan bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang perjalanan.
Menurut LLM, usaha memperkukuh aplikasi itu bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaannya memenuhi keperluan pengguna.
Dalam pada itu, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan.
“Usaha itu selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, termasuk memberi perhatian kepada aspek keselamatan serta tadbir urus data.
“Kami juga menghargai kesabaran dan maklum balas orang ramai, selain memberi jaminan bahawa setiap isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan disalurkan menerusi saluran rasmi LLM dan TuJu,” katanya.
Orang ramai yang ingin mengemukakan aduan atau maklum balas berkaitan aplikasi itu boleh berbuat demikian melalui e-mel feedback@prosignalconsortium.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








