Keluarga Khairul Hafizi desak Menteri Kesihatan jelaskan isu laporan bedah siasat
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad digesa menjelaskan mengapa hasil bedah siasat Allahyarham Mohd Khairul Hafizi Mohamad Kamaruzaman masih belum didedahkan kepada keluarga dan peguam mereka selepas kematiannya akibat tembakan polis pada 2 Ogos lalu.
Desakan itu disuarakan peguam yang mewakili keluarga mangsa, Mahajoth Singh dan Zaid Malek, yang mempersoalkan tindakan tidak memberikan maklumat terperinci mengenai pemeriksaan forensik berkenaan meskipun bedah siasat telah dijalankan di Hospital Taiping.
Menurut mereka, keluarga masih tidak mendapat gambaran menyeluruh mengenai penemuan pemeriksaan itu, termasuk aspek penting yang boleh membantu menjelaskan keadaan sebenar sebelum Khairul Hafizi meninggal dunia.
Dalam pertemuan dengan pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat pada 19 November lalu, keluarga hanya dimaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat kehilangan darah susulan kecederaan tembakan.
“Tiada maklumat lanjut diberikan, termasuk sudut peluru memasuki tubuh atau anggaran jarak tembakan dilepaskan.
“Gambar bedah siasat juga tidak ditunjukkan, manakala pemeriksaan yang dilakukan tidak diterangkan kepada keluarga atau peguam mereka,” menurut kenyataan itu.
Peguam berkenaan turut berkata, pakar patologi forensik membangkitkan kemungkinan Allahyarham mempunyai masalah jantung yang tidak diketahui keluarganya sebelum ini.
Mereka menyifatkan ketiadaan penjelasan terperinci itu sebagai perkara yang membimbangkan kerana hasil bedah siasat merupakan antara bukti penting untuk memahami punca dan keadaan sesuatu kematian.
“Keluarga bukan sekadar pemerhati dalam siasatan kematian ahli keluarga mereka sendiri.
“Mereka mempunyai kepentingan yang jelas untuk mengetahui hasil bedah siasat, termasuk penemuan awal, bagi memastikan hak mendapatkan keadilan tidak dinafikan,” tegas mereka.
Menurut Mahajoth dan Zaid, pendedahan maklumat awal juga penting bagi membolehkan keluarga menilai sama ada permohonan untuk menjalankan bedah siasat kedua perlu dibuat.
Mereka berkata, perkara itu perlu diberi perhatian segera kerana sebarang kelewatan mendapatkan maklumat boleh menjejaskan pertimbangan keluarga berhubung pemeriksaan lanjut.
Dalam kenyataan sama, mereka membangkitkan kebimbangan mengenai halangan terhadap usaha mendapatkan penjelasan berkaitan bedah siasat dengan merujuk kes Norizwan Zulkefly, yang dilaporkan membabitkan siasatan polis terhadap peguam keluarganya selepas mendapatkan penjelasan mengenai pemeriksaan berkenaan.
“Apakah yang menyebabkan wujudnya tindakan semakin ketara untuk menolak tuntutan ketelusan oleh doktor dan hospital kerajaan berhubung pemeriksaan bedah siasat?” soal mereka.
Khairul Hafizi dilaporkan maut dalam kejadian di Kampung Klian Gunung, Ijok, Batu Kurau pada 2 Ogos lalu. Selepas kejadian itu, polis mendakwa mangsa menyerang anggota polis menggunakan parang dan turut merujuk rekod jenayah lampau Allahyarham.
Bagaimanapun, peguam keluarga berkata, maklumat yang diperoleh setakat ini masih belum mencukupi untuk menjelaskan sepenuhnya keadaan yang membawa kepada kematian mangsa.
Mereka menegaskan bahawa ketelusan amat penting dalam siasatan kematian yang membabitkan anggota penguat kuasa, manakala hasil bedah siasat boleh menjadi bukti utama dalam prosiding inkues bagi menentukan keadaan kematian.
Sehubungan itu, mereka menggesa Kementerian Kesihatan memberikan penjelasan segera serta memastikan hasil pemeriksaan bedah siasat diserahkan kepada keluarga dan peguam mereka tanpa berlengah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





