Kes tembak korbankan 3 individu dipercayai berpunca masalah hutang
KOTA TINGGI – Polis mengesahkan kejadian tembakan yang mengorbankan tiga individu di medan selera Taman Kota Jaya semalam dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara suspek dengan mangsa wanita warga Vietnam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bagaimanapun berkata, jumlah sebenar hutang tersebut masih dalam siasatan.
Tambahnya, pihak polis akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Sidang akhbar akan diadakan selepas siasatan lengkap dan mendapat arahan daripada pihak pendakwa raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, tiga individu maut selepas ditembak menggunakan senapang patah dalam satu kejadian di medan selera berkenaan.
Polis kemudian berjaya menahan suspek berusia 71 tahun sekitar 200 meter dari tempat kejadian selain turut merampas sepucuk senjata api jenis ‘shotgun’ dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Hari ini, suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret, di sini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








