JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM buka lima kertas siasatan susulan Laporan RCI Tabung Haji

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kes-kes jenayah komersial susulan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji yang didedahkan kepada umum, minggu lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa, setakat ini polis menerima sembilan laporan polis daripada pihak TH, anak syarikat TH dan orang awam berkaitan kes-kes berkenaan.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Dalam usaha melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi-saksi terlibat dari dalam serta luar negara di samping mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rusdi seterusnya berkata, pihak PDRM komited memastikan setiap siasatan yang dijalankan dilaksanakan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut, tiga lagi individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewengan caj notis penalti (NOP) bernilai kira-kira RM450,000 membabitkan sebuah syarikat hartanah yang juga anak syarikat badan berkanun.

Manakala semalam, seorang pengarah syarikat reka bentuk direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bernilai RM300,000.

Suspek dipercayai memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek ubah suai di badan berkanun tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button