BERITA SEMASA

PRN Negeri Sembilan: Polis lulus 141 permohonan ceramah kempen

SEREMBAN – Polis meluluskan 141 daripada 143 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi tempoh 18 hingga 20 Julai.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, kesemua program dan aktiviti politik yang diluluskan itu turut dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Tambahnya, bagi tempoh sama juga, Polis Negeri Sembilan menerima tujuh laporan polis dan membuka empat kertas siasatan dengan dua daripadanya dibuka semalam berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Semalam, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat hingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alzafny berkata, setakat ini, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya adalah pada tahap yang baik dan terkawal.

“Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM di lapangan bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan teratur,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button