POLITIK

‘Pandangan peribadi, bukan pendirian rasmi Puteri UMNO’

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Penerangan Puteri UMNO berkenaan Nurrul Izzah Anwar yang menjadi tular di laman Threads baru-baru ini, hanyalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian rasmi sayap berkenaan.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nor Zakiah Azmi menegaskan, kenyataan dikeluarkan Shamellya Norazizi itu dibuat menggunakan akaun peribadi miliknya dan perkara itu tidak harus dikaitkan dengan organisasi.

“Apa yang berlaku tidak mewakili Puteri, dan saya berharap perkara ini tidak dipanjangkan serta dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa masa, Nor Zakiah turut menekankan bahawa Puteri UMNO sentiasa komited untuk menjaga disiplin serta imej pergerakan, dan menyeru semua pihak supaya berhati-hati dalam menyampaikan pandangan di media sosial.

Isu tersebut timbul baru-baru ini apabila Shamellya dikatakan membuat hantaran di Threads miliknya mengaitkan Nurul Izzah Anwar dengan tuduhan liwat.

Dalam hantaran berkenaan, Shamellya menulis, “So Nurul Izzah juga peliwat?” yang kemudiannya mengundang kecaman pengguna media sosial kerana didakwa membawa tuduhan serius terhadap individu yang tidak pernah didakwa atas kesalahan berkenaan.

Tidak lama kemudian, Shamellya memadam hantaran berkenaan dan mengeluarkan permohonan maaf.

Susulan hantaran tersebut, Exco Angkatan Muda (AMK) Malaysia, Atillah Sani dipetik sebagai berkata, individu yang memegang jawatan dalam sayap politik parti sepatutnya menunjukkan kematangan serta disiplin dalam berkomunikasi, bukannya mengheret politik negara ke tahap serangan peribadi.

“Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh bertikam lidah soal dasar. Tetapi jangan sampai hilang akal dan hilang maruah,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button