POLITIK

PRN Sabah: PKR letak calon di 10 kerusi

CYBERJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan akan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, hari ini.

Beliau dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas perbincangan bersama barisan pimpinan dan rakan seperjuangan yang diberi amanah untuk memperkukuh suara rakyat Sabah.

“Kami (PKR) telah diberi amanah untuk bertanding di 10 kerusi bagi memastikan segala usaha memperjuangkan kepentingan Sabah dapat dilaksanakan. Sepertimana amanat yang disampaikan oleh PMX, kami akan terus berusaha dengan penuh keazaman untuk bekerja dan mendengar suara rakyat di Sabah,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.

Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, penyertaan di 10 kerusi bukan sekadar strategi pilihan raya tetapi misi memastikan perjuangan hak Sabah terus dipacu.

Beliau turut mengaitkan mandat itu dengan hala tuju kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan suara Sabah menjadi agenda nasional.

“Sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran pada tahun 2022, usaha untuk memperjuangkan pelaksanaan MA63 telah pun dipertingkat, dipercepat dan digerakkan dengan lebih serius.

“Dalam tempoh 3 tahun, Kerajaan MADANI telah berjaya menyelesaikan 9 tuntutan utama , sesuatu yang gagal direalisasikan oleh pentadbiran sebelum ini,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, perjuangan belum selesai dan mengingatkan risiko besar sekiranya mandat tidak dipertahankan.

“Jangan patahkan usaha ini. Jangan biarkan perjuangan ini terhenti separuh jalan. Jika Kerajaan Madani tidak lagi diberi amanah untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan Sabah, segala usaha yang telah dibina selama tiga tahun ini akan kembali ke titik permulaan.

“Kita memerlukan sokongan yang lebih kuat daripada rakyat Sabah sendiri untuk memastikan perjuangan menegakkan hak Sabah benar-benar tertunai,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button