PRN Negeri Sembilan: PH pertaruh rekod pentadbiran lapan tahun
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tampil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan mempertaruhkan rekod pencapaian sepanjang lapan tahun mentadbir negeri berbanding menawarkan janji yang sukar ditunaikan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan itu hadir kepada rakyat dengan bukti pencapaian, pengalaman mentadbir serta perancangan jelas untuk meneruskan pembangunan negeri.
Menurutnya, rekod pentadbiran yang ditunjukkan sepanjang dua penggal lalu menjadi asas kepada keyakinan PH untuk terus diberi mandat oleh rakyat Negeri Sembilan.
“Hari ini kita datang semula kepada rakyat bukan dengan janji kosong dan bukan juga dengan retorik yang indah didengar tetapi sukar dilaksanakan.
“Sebaliknya kita datang dengan rekod, hasil dan pengalaman yang telah dibuktikan sepanjang mentadbir negeri ini, selain membawa visi yang lebih besar untuk memastikan Negeri Sembilan terus maju,” katanya ketika berucap pada pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Aminuddin berkata, antara pencapaian utama kerajaan negeri sepanjang lapan tahun lalu ialah kejayaan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri sehingga mencatatkan antara prestasi terbaik dalam sejarah Negeri Sembilan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga berjaya menarik pelaburan strategik bernilai berbilion ringgit yang membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
Selain itu katanya, pelbagai bantuan kebajikan diperluaskan bagi memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat pembelaan dan tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Pada masa sama kita memperkukuh sektor pendidikan, pembangunan modal insan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi Islam, infrastruktur asas serta kemudahan awam.
“Semua ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada komitmen untuk meletakkan amanah, kestabilan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya lagi.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati Negeri Sembilan sejak 2018 turut menjadi faktor penting yang membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau turut berharap rakyat dapat menilai rekod pentadbiran PH secara adil sebelum membuat keputusan pada hari pengundian nanti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















