BERITA SEMASA

Unit K9 ditempatkan di KLIA mulai 26 Oktober

SEPANG – Unit anjing pengesan (K9) akan ditempatkan di lokasi strategik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 26 Oktober ini bagi memperkukuh keselamatan serta meningkatkan pengesanan barangan larangan.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, penempatan itu merupakan sebahagian daripada 17 langkah keselamatan yang dirancang bagi mencegah ancaman di kawasan awam dan zon larangan lapangan terbang.

Menurutnya, unit K9 akan ditempatkan di tiga lokasi utama iaitu balai pelepasan, balai ketibaan dan kawasan pengasingan bagasi.

“Unit K9 akan ditempatkan di kawasan daftar masuk bagi membolehkan pengesanan awal barangan larangan dan potensi ancaman keselamatan yang berkaitan dengan penerbangan tertentu.

“Selain itu, unit berkenaan turut ditempatkan di kawasan pemeriksaan kastam bagi membantu mengesan barangan larangan, dadah dan barangan seludup,” kata MAHB.

Di kawasan operasi dalaman, unit K9 turut membantu pemeriksaan keselamatan bagasi daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam pesawat atau dipindahkan ke kawasan pengambilan bagasi.

MAHB berkata, KLIA akan menyelaraskan prosedur operasi dengan agensi berkaitan, termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP), akses khusus untuk unit K9 dan pengendali serta kemudahan sokongan bersesuaian.

Fasa percubaan juga akan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan lokasi penempatan serta mengenal pasti pelarasan yang diperlukan terhadap pergerakan penumpang dan jadual operasi.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, penempatan unit K9 akan melengkapi langkah keselamatan sedia ada dalam melindungi penumpang, pengunjung dan kakitangan lapangan terbang.

“Kerjasama ini juga membolehkan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama mereka dalam menjaga keselamatan pengguna dan kemudahan lapangan terbang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button