BERITA SEMASA

4 pegawai disiasat terbabit aktiviti ‘Counter Setting’ di KLIA

SEPANG – Empat pegawai kini disiasat selepas disyaki bersubahat membantu warganegara asing melepasi pemeriksaan imigresen secara tidak sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), siasatan ke atas pegawai berkenaan adalah hasil pemantauan berterusan yang dijalankan pihak AKPS KLIA sepanjang tempoh tersebut.

“Empat pegawai yang disiasat dipercayai terlibat dalam aktiviti ‘counter setting’ iaitu melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan imigresen tanpa mematuhi prosedur sah dan ditetapkan,” katanya.

Dalam tempoh sama, AKPS turut menahan seramai 25 warganegara asing terdiri daripada warga Vietnam, Kemboja, India dan Indonesia yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara tidak sah.

“Mereka ditahan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan disyaki memasuki negara ini tanpa melalui prosedur kemasukan yang sah,” jelas kenyataan itu.

AKPS menegaskan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang terbabit,” tegas AKPS.

Pihak agensi turut menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan pemantauan dan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna oleh mana-mana pihak berkepentingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button