POLITIK

Dulu kafir-mengkafir, kini mahu dianggap sekadar perbezaan cabang

JOHOR BAHRU – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap perselisihan antara PAS dan UMNO selama ini hanya sebagai ‘khilaf perkara cabang’ sebagai tidak mencerminkan realiti sejarah politik negara.

Menurut Naib Pengerusi DAP Johor itu, perbezaan yang berlaku antara kedua-dua parti berkenaan bukan sekadar melibatkan perkara kecil, sebaliknya telah memberi kesan besar kepada masyarakat Melayu Islam sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata, perselisihan tersebut pernah mencetuskan budaya kafir-mengkafir, amalan solat dua imam, pertikaian mengenai kesahan sembelihan dan perkahwinan, selain menyebabkan boikot kenduri-kendara serta perpecahan dalam institusi keluarga dan masyarakat.

“Semua ini benar-benar berlaku. Terdapat laporan media, kajian akademik dan perkongsian pengalaman masyarakat sendiri khususnya pada era 1980-an dan 1990-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar turut menyentuh mengenai Amanat Hadi yang menurutnya menjadi antara polemik terbesar dalam sejarah politik negara kerana sering dikaitkan dengan budaya takfiri dan polarisasi politik yang berpanjangan.

Beliau mempersoalkan bagaimana pelbagai peristiwa dan konflik yang berlaku sepanjang hubungan PAS dan UMNO boleh dianggap hanya sebagai ‘khilaf perkara cabang’.

Menurutnya, pertembungan politik antara kedua-dua parti itu turut melibatkan krisis politik Kelantan pada 1977 sehingga membawa kepada penyingkiran PAS daripada Barisan Nasional (BN), selain pertelagahan berterusan dalam pilihan raya dan pelbagai tuduhan keras yang pernah dilemparkan oleh pemimpin kedua-dua pihak.

“Rupa-rupanya semua itu hanya ‘khilaf perkara cabang’.

“Aduhai, mudah sungguh menunggang atas nama agama,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut menyelitkan nada sinis dengan mengimbau luahan seorang rakannya yang pernah aktif dalam kegiatan parti ketika zaman pengajian.

“Kalau aku tahu macam ini, baik aku belajar sungguh-sungguh masa di universiti dulu, tak payah susah-susah ponteng kuliah untuk ke tamrin,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button