PRN Negeri Sembilan: 318 pegawai, anggota Polis Johor bantu kawalan keselamatan
JOHOR BAHRU – Seramai 318 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Kontinjen Johor digerakkan ke Negeri Sembilan bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung dengan aman, selamat serta teratur.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, penugasan itu membabitkan 290 anggota tugas am dan 28 anggota trafik yang akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurut beliau, penugasan tersebut bermula hari ini dan dijangka berakhir dua hari selepas hari pengundian.
“Kontinjen Johor membantu Kontinjen Negeri Sembilan bagi memastikan semua urusan PRN berjalan lancar, sekali gus menjamin keselamatan orang ramai serta petugas pilihan raya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Petugas Kontinjen Johor ke PRN Negeri Sembilan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, selain anggota yang digerakkan ke Negeri Sembilan, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas di Johor turut berada dalam keadaan siap siaga untuk dikerahkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
Beliau turut mengingatkan semua anggota yang terlibat supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh disiplin, profesionalisme dan integriti sepanjang penugasan kerana mereka membawa nama baik Kontinjen Johor serta imej Polis Diraja Malaysia.
“Sepanjang penugasan, saya mengingatkan semua anggota supaya mematuhi setiap arahan pegawai pemerintah, mengekalkan sikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.
“Walaupun datang daripada kontinjen dan formasi yang berbeza, kita tetap bergerak sebagai satu pasukan dengan satu matlamat iaitu memastikan proses demokrasi berjalan lancar, aman dan terkawal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















