Kerajaan dipilih, apa tuntutan utama belia Negeri Sembilan?
PELUANG pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup dan pembangunan infrastruktur antara tuntutan utama golongan belia terhadap kerajaan baharu Negeri Sembilan selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Tinjauan Malaysia Tribune mendapati, anak muda dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berharap pentadbiran baharu tidak sekadar menunaikan manifesto pilihan raya, sebaliknya melaksanakan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat selain memastikan kestabilan politik dan tadbir urus negeri terus diperkukuhkan.
Mereka juga mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peluang pekerjaan, memperkasakan pendidikan, menambah baik kemudahan asas serta menangani isu kos sara hidup yang semakin membebankan.
Bagi pengundi DUN Paroi, Nadhirah Muslal, 27, beliau berharap kerajaan negeri yang baharu dapat mentadbir secara telus dan inklusif, di samping memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
Menurutnya, setiap dasar yang diteruskan atau diperkenalkan perlu dinilai semula mengikut keperluan semasa supaya memberi manfaat dalam jangka panjang kepada penduduk Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pemimpin yang diberikan mandat mentadbir negeri perlu mempunyai keperibadian baik, berintegriti tinggi, berilmu serta memiliki rekod yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.
“Selain itu, kerajaan negeri perlu memberi perhatian terhadap penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya, pusat rekreasi, rumah ibadat, projek tebatan banjir dan capaian internet yang lebih meluas bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Dari sudut tadbir urus fiskal pula, pengurusan kewangan negeri perlu dilaksanakan secara telus supaya hasil negeri dapat dimanfaatkan untuk pembangunan jangka panjang tanpa membebankan generasi akan datang,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Bagi pengundi DUN Lenggeng, Muhamad Zakwan Zamri, 27, beliau berharap kerajaan negeri mampu terus meningkatkan pendapatan negeri di samping memperkasakan tahap pendidikan rakyat Negeri Sembilan.
Katanya, barisan kepimpinan yang mentadbir negeri perlu memiliki ciri mesra rakyat, bijak mengurus tadbir serta amanah dalam memikul tanggungjawab.
“Setiap kawasan DUN juga perlu diberi perhatian dengan meningkatkan pendapatan setempat, memperbanyakkan aktiviti kebajikan serta menambah baik infrastruktur terutama jalan raya.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya rakyat tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki. Perumahan mampu milik dan rumah kos rendah juga penting bagi mengurangkan beban rakyat.
“Selain itu, pendidikan perlu diperkasakan terutama di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekangan mendapatkan maklumat. Kami mahu semua rakyat di negeri ini mendapat pendidikan terbaik dan setaraf,” katanya.
Pandangan hampir sama dikongsi pengundi DUN Paroi, Nur Elysya Shamzul, 26, yang mahukan pentadbiran negeri lebih bersih, berintegriti serta mampu mengawal kos sara hidup dengan lebih berkesan.
Menurutnya, wakil rakyat perlu amanah, bebas rasuah, memahami tanggungjawab yang dipikul serta sentiasa mudah dihubungi apabila diperlukan penduduk.
“Selepas diberi mandat, wakil rakyat perlu melaksanakan apa yang dijanjikan dan benar-benar menjadi suara rakyat.
“Bagi saya, isu peluang pekerjaan perlu diberi perhatian serius kerana jurang gaji di Negeri Sembilan masih jauh berbeza berbanding Lembah Klang walaupun tahap tekanan kerja hampir sama.
“Ramai terpaksa berulang-alik ke Lembah Klang kerana tawaran gaji lebih tinggi, sedangkan kos sara hidup di sana juga semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, pengundi DUN Labu, Muhammad Narvin, 27, berharap kerajaan negeri mentadbir secara lebih telus serta benar-benar bekerja untuk rakyat tanpa mengira musim pilihan raya.
“Kami perlukan kerajaan yang mendengar masalah rakyat, bertindak pantas dan mengurus negeri dengan jujur,” katanya.
Beliau berkata, wakil rakyat yang menang juga perlu terus mendampingi masyarakat, memantau keadaan kawasan serta memaklumkan perkembangan setiap janji yang telah dilaksanakan.
Pengundi DUN Linggi, Sollehudin Muhammad Sin, 27, pula berharap kerajaan yang dipilih selepas PRN melaksanakan segala manifesto yang dijanjikan kepada rakyat serta tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan.
“Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada penyediaan peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang setimpal dengan kenaikan kos sara hidup dan inflasi semasa,” katanya.

Bagi dua lagi pengundi muda DUN Lenggeng, Nor Natasya Anis Jamirus, 21, dan Afiqah Sabiah Sofian, 21, mereka berkata, isu yang paling dekat dengan golongan belia ialah peluang pekerjaan dan kebajikan pelajar.
Mereka berharap kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan muda supaya tidak perlu berulang-alik antara Negeri Sembilan dan Lembah Klang untuk mencari pendapatan lebih baik.
Selain itu, mereka turut mencadangkan supaya bantuan dan elaun kepada pelajar dipertingkatkan tanpa mengira sama ada mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS).
Keseluruhannya, pandangan belia Negeri Sembilan itu menggambarkan harapan tinggi terhadap kerajaan baharu negeri untuk memberi keutamaan kepada isu ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan dan infrastruktur, selain memastikan setiap manifesto yang dijanjikan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi impak kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















