PRN Negeri Sembilan: Nor Azman tekad teruskan legasi Aminuddin di Sikamat
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad bertekad meneruskan legasi kecemerlangan pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun dengan menjadikan rekod pencapaian bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebagai penanda aras sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata, amanah untuk menggantikan Aminuddin bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu telah meninggalkan rekod perkhidmatan yang cemerlang sepanjang mewakili kawasan berkenaan.
“Proses penamaan calon berjalan dengan sangat baik, mudah dan lancar. Saya melihat amanah ini sangat besar kerana khidmat yang telah ditinggalkan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan satu rekod yang sukar untuk digantikan.
“Namun, saya menjadikan rekod kecemerlangan beliau sebagai penanda aras untuk saya meneruskan khidmat terbaik kepada masyarakat Sikamat,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini hari ini.
Nor Azman yang dipilih sebagai calon nombor tiga dalam pertandingan tiga penjuru berkata, beliau akan meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan yang telah dilaksanakan sebelum ini demi memastikan kesejahteraan penduduk Sikamat terus terpelihara.
Menurut beliau, aspek kemudahan awam, kebajikan warga emas serta penyediaan lebih banyak rumah mampu milik akan menjadi antara keutamaan sekiranya diberi peluang mewakili rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, sebahagian besar taman perumahan di Sikamat kini berusia lebih 20 tahun dan didiami ramai warga emas yang memerlukan kemudahan awam lebih mesra pengguna serta penyelenggaraan yang berterusan.
“Pada masa sama, pembangunan taman-taman baharu khususnya di kawasan Taman Desa Puteri semakin rancak.
“Kerajaan negeri menetapkan setiap pembangunan baharu perlu menyediakan rumah mampu milik termasuk rumah kategori A dengan anggaran harga sekitar RM110,000 bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperbanyakkan rumah mampu milik akan terus diperjuangkan selaras dengan perkembangan pesat pembangunan di Sikamat bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaat pertumbuhan tersebut.
Mengulas mengenai cabaran politik susulan perpecahan parti-parti yang sebelum ini bersama dalam kerajaan, Nor Azman berkata, perkara itu tidak menjejaskan keyakinan PH untuk terus memperoleh sokongan rakyat berdasarkan rekod pentadbiran yang telah dibina sejak 2018.
Menurutnya, pencapaian Negeri Sembilan daripada segi peningkatan pelaburan, pertumbuhan rizab negeri serta kutipan hasil yang lebih tinggi membuktikan keupayaan PH mentadbir negeri dengan baik di bawah kepimpinan Aminuddin.
“Segala kejayaan yang dicapai hari ini bukan bermula selepas 2023, sebaliknya dibina sejak 2018 apabila Datuk Seri Aminuddin Harun diberi mandat sebagai Menteri Besar sebelum momentum itu diteruskan sehingga kini.
“Rekod inilah yang akan menjadi asas kepada PH untuk terus menawarkan pentadbiran yang stabil, berkesan dan mampu membawa pembangunan berterusan kepada rakyat Sikamat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








