BERITA SEMASA

Manivanan bantah proses pengundian di saluran 5 SK Rompin, dakwa bahan kempen BN dibawa masuk

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin mengemukakan bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan dakwaan berlaku pelanggaran prosedur pengundian di Saluran 5, Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin pada hari pengundian.

Menurut beliau, kejadian itu disedari ketika beliau hadir ke pusat mengundi berkenaan sekitar jam 2.20 petang sebelum memasuki Bilik Mengundi Saluran 5 kira-kira 10 minit kemudian.

Manivanan mendakwa ketika berada di saluran tersebut, beliau melihat petugas SPR membuat semakan menggunakan slip atau borang berwarna biru yang dibawa oleh pengundi.

“Dalam tempoh saya berada di situ, saya melihat kira-kira lima hingga enam pengundi membawa masuk kertas berwarna biru tersebut ke dalam bilik mengundi.

“Saya juga melihat beberapa pengundi meletakkan kertas itu di atas meja petugas SPR dan Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengambil serta menyerahkannya semula bersama-sama kertas undi kepada pengundi,” katanya dalam surat bantahan yang dikemukakan kepada SPR hari ini.

Beliau berkata, selepas berasa curiga dengan situasi berkenaan, beliau menghampiri meja petugas untuk melihat dengan lebih dekat.

Menurutnya, ketika itu beliau mendapati KTM didakwa menyembunyikan kertas berwarna biru tersebut ke dalam laci di bawah meja.

“Disebabkan saya melihat sendiri kertas tersebut, saya bertanya mengenainya. Pada mulanya KTM tidak menunjukkannya kepada saya.

“Namun selepas saya terus mendesak dan mengemukakan pertanyaan, KTM akhirnya mengeluarkan kertas itu dan menyerahkannya kepada saya,” katanya lagi.

Manivanan mendakwa kertas berwarna biru berkenaan mengandungi perkataan “Undilah Barisan Nasional” serta logo Barisan Nasional (BN) yang dicetak pada kedua-dua bahagian kertas.

Beliau berkata, kejadian tersebut direkodkan berlaku pada jam 2.45 petang dan pada masa sama beliau turut meminta KTM merekodkan nombor siri kertas undi terakhir yang dikeluarkan sebelum insiden itu.

Sehubungan itu, beliau membantah proses pengundian yang berlangsung di Saluran 5 dan memohon SPR mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan integriti serta ketelusan proses pilihan raya terus terpelihara.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk supaya pengiraan undi melibatkan semua kertas undi yang dikeluarkan sehingga jam 2.45 petang dibatalkan atau diketepikan, selain tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button