PRN Negeri Sembilan: Anthony Loke pertahan DUN Chennah
KUALA PILAH – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke diumumkan sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah, hari ini.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan merupakan penyandang kerusi berkenaan selepas memenangi DUN Chennah pada PRN lalu dengan majoriti 2,200 undi.
Pada PRN 2023, PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh kemenangan 31 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.
Daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN (14) manakala lima lagi kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, PRN kali ini menyaksikan PH dan BN bergerak secara berasingan selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan gabungan itu akan bertanding secara solo di Negeri Sembilan.
Keputusan itu dibuat selepas PH mengumumkan akan meletakkan calon di kesemua 36 kerusi DUN negeri berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, agihan kerusi dalam gabungan itu menyaksikan PKR bertanding di 16 kerusi, DAP (11) dan Amanah (sembilan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, manakala pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








