POLITIK

Dakwaan beli undi: Yew Boon Lye tampil pertahan integriti kempen PH

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Yew Boon Lye menafikan dakwaan bahawa beliau atau pasukannya terbabit dalam kegiatan mengagihkan wang kepada pengundi seperti yang tular di media sosial.

Dalam kenyataan media hari ini, Yew berkata, beliau terkejut dengan penularan video serta maklumat yang mendakwa terdapat individu disyaki mengagihkan wang di kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan mana-mana pihak menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran untuk undi.

“Saya juga tidak pernah meminta sesiapa melakukan perbuatan sedemikian bagi pihak saya. Saya sentiasa menentang sekeras-kerasnya politik wang dan perbuatan membeli undi,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, penggunaan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya, malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta menjejaskan keadilan dan maruah sistem demokrasi.

Beliau turut menggesa polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi penguatkuasaan berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya benar terdapat mana-mana pihak terlibat dalam kegiatan membeli undi.

Yew berkata, sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur fitnah, penyebaran maklumat palsu atau cubaan mengelirukan pengundi, tindakan tegas perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sekiranya berkenaan.

“Sesiapa yang sanggup mengagihkan wang untuk membeli undi dan mencemarkan nilai demokrasi merupakan individu yang amat tidak bermaruah, tanpa mengira sama ada mereka penduduk tempatan ataupun orang luar,” katanya.

Mengulas mengenai video yang tular, Yew berkata, sumber rakaman itu masih tidak diketahui selain latar belakang, waktu, lokasi, identiti individu terbabit serta tujuan wang tersebut diberikan masih belum dapat dipastikan.

Katanya, sebelum siasatan dijalankan pihak berkuasa, video berkenaan telah dikaitkan dengan dirinya dan PH sehingga menimbulkan tuduhan bahawa parti itu terbabit dalam politik wang.

“Perbuatan melemparkan tuduhan, memfitnah dan memburukkan nama seseorang secara terbuka tanpa sebarang pengesahan merupakan tindakan yang amat keji dan sama sekali tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat pihak yang segera menghasilkan pelbagai grafik dan video selepas rakaman berkenaan tersebar bagi mewujudkan persepsi bahawa PH terbabit dalam politik wang.

Menurutnya, tindakan sedemikian merupakan pencabulan serius terhadap demokrasi serta cubaan memperlekehkan kebijaksanaan pengundi.

Yew berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau kenyataan palsu sehingga menjejaskan reputasi beliau serta integriti kempen PH.

Susulan itu, beliau menyeru semua pihak menghentikan penyebaran maklumat yang belum disahkan dan memastikan proses demokrasi berlangsung secara matang, beretika serta berlandaskan kebenaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button