POLITIK

Kerjasama politik BN-PN hanya di Negeri Sembilan – Wan Rosdy

HULU TERENGGANU – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak boleh dianggap sebagai formula yang akan diguna pakai di negeri-negeri lain.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini persefahaman tersebut hanya melibatkan Negeri Sembilan, manakala sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik di negeri lain perlu diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Setakat hari ini, kerjasama itu hanya di Negeri Sembilan. Bagi negeri-negeri lain, kita akan berbincang terlebih dahulu dan keputusan tidak dibuat oleh seorang individu sebaliknya diputuskan secara bersama oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, di sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pendekatan politik perlu disesuaikan dengan landskap dan keperluan semasa di setiap negeri kerana situasi politik tidak sama.

“Dalam politik, kita perlu bijak membuat pertimbangan dan ada masanya perlu berkongsi demi mencapai matlamat yang lebih besar.

“Begitupun, pendekatan politik yang diambil sesebuah negeri tidak semestinya sama kerana setiap negeri mempunyai keadaan serta cabaran tersendiri,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, kerjasama dengan PN ketika PRN Negeri Sembilan dibuat berdasarkan keperluan politik semasa di negeri itu dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pendirian umum BN di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button