POLITIK

‘Doktor buta warna’ tekad terus bela rakyat Sri Tanjung tanpa mengira kaum

PORT DICKSON – Komitmen membantu masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang menjadikan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran dikenali penduduk sebagai ‘doktor buta warna’.

Menurut beliau, gelaran itu lahir daripada prinsip yang dipegang sepanjang lebih 12 tahun berkhidmat sebagai doktor di Port Dickson iaitu melihat setiap individu sebagai insan yang memerlukan bantuan, bukannya berdasarkan warna kulit atau kaum.

“Saya hanya nampak darah, bukan warna kulit. Sebab itu ada yang menggelarkan saya ‘doktor buta warna’.

“Saya juga bukan seperti ‘cendawan’ yang tumbuh ketika musim pilihan raya. Saya sudah lama turun padang membantu masyarakat dan kerja itu akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pada siri walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Taman PD Utama, di sini, semalam.

Dr Rajasekaran berkata, beliau tidak pernah menghiraukan jika ada wakil rakyat kawasan lain kurang senang dengan kehadirannya kerana keutamaannya adalah memastikan golongan yang memerlukan mendapat pembelaan.

Katanya, antara individu yang pernah dibantu ialah seorang penjual petai yang berdepan kesukaran hidup, selain membawa seorang gelandangan berbangsa Cina dari Linggi ke sebuah rumah kebajikan.

Beliau turut membantu sebuah keluarga Melayu yang terpaksa tinggal di dalam tandas selama sebulan, selain menempatkan sebuah keluarga India di kediaman yang lebih selesa.

“Semua ini saya lakukan atas dasar kemanusiaan. Saya tidak melihat kaum atau sempadan kawasan apabila ada orang memerlukan bantuan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, usaha menyelesaikan masalah rakyat perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan berhemah, bukannya semata-mata untuk meraih populariti.

“Yang penting ialah membantu rakyat yang memerlukan. Penduduk Port Dickson tahu siapa yang benar-benar turun padang dan sentiasa bersama mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalaman lebih sedekad sebagai doktor memberinya pemahaman mendalam mengenai keperluan masyarakat setempat.

Katanya, pendekatan turun padang secara konsisten termasuk mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ketua kampung serta petugas membolehkan isu rakyat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih berkesan.

Beliau turut mengimbas peranannya ketika pandemik Covid-19 apabila kliniknya menjadi antara lokasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, selain membantu menyediakan kemudahan seperti katil pesakit dan mesin oksigen selepas bergelar wakil rakyat.

Menurutnya, pelbagai bantuan kebajikan turut disalurkan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri termasuk bantuan kepada pesakit kanser, bantuan pendidikan, e-Kasih, Yayasan Negeri Sembilan dan bantuan sara hidup warga emas.

“Sebagai doktor saya membantu dari sudut kesihatan, tetapi sebagai wakil rakyat saya dapat menyelaras bantuan dalam skop yang lebih luas.

“Saya mahu memastikan rakyat Sri Tanjung terus mendapat pembelaan dari segi kebajikan, pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button