Belia Negeri Sembilan perlu tentukan masa depan negeri – Mohammed Taufiq
SEREMBAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memastikan pembangunan belia serta atlet di Negeri Sembilan terus diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif dan program di peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha itu penting bagi melahirkan lebih ramai atlet berkaliber selain membentuk pemimpin muda yang mampu menerajui negara dan negeri pada masa hadapan.
Menurutnya, KBS sentiasa menyediakan platform kepada golongan belia termasuk menerusi pelbagai geran, dana sukan komuniti serta program Jelajah Rakan Muda di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
“Insya-Allah, kita di peringkat Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memastikan atlet-atlet dapat dilahirkan dari Negeri Sembilan sendiri.
“Kita juga mahu melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda Negeri Sembilan,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini hari ini.
Program turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas pembangunan belia di kawasan luar bandar, Mohammed Taufiq berkata, KBS memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan dapat dinikmati semua golongan belia tanpa mengira lokasi.
“Program yang kita susun meliputi kawasan bandar dan luar bandar supaya belia di peringkat akar umbi mendapat sentuhan daripada setiap inisiatif yang dilaksanakan kementerian.
“Kita turut menyediakan pelbagai dana termasuk peluang untuk anak muda menceburi bidang keusahawanan bagi memastikan tiada yang tertinggal atau ketinggalan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyeru belia Negeri Sembilan supaya memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Negeri Sembilan telah berada di landasan yang betul dengan kepimpinan yang baik serta pertumbuhan ekonomi yang baik.
“Jadi, kepada semua pemuda dan belia di Negeri Sembilan, pilihlah hala tuju yang baik kerana masa depan negeri ini berada di tangan anda,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








