BERITA SEMASA

Tiada keperluan menteri letak jawatan, keputusan hak mutlak PM – Zahid

CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi badan berkanun meletakkan jawatan susulan dakwaan menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, soal pelantikan atau penamatan jawatan anggota pentadbiran kerajaan adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebarang keputusan mengenainya hanya boleh dibuat oleh beliau.

Menurut Zahid, Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan sama ada tindakan perlu diambil terhadap mana-mana individu berdasarkan maklumat yang diterima.

“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri mengesyaki atau memperoleh maklumat yang sahih, maka itu adalah kuasa mutlak beliau dan tidak perlu sesiapa pun meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen 2026, di sini hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Anwar yang mengingatkan mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi badan berkanun supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang parti atau pemimpin yang menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu sekali lagi menegaskan bahawa kuasa melantik dan menamatkan perkhidmatan anggota pentadbiran kerajaan merupakan prerogatif Perdana Menteri.

“Perkara itu adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Terdahulu, Anwar dilaporkan mengingatkan semua anggota pentadbiran kerajaan dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan agar tidak menjadikan kempen pilihan raya sebagai medan menyerang parti atau pemimpin yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang memilih untuk berbuat demikian perlu bersedia melepaskan jawatan kerana tindakan itu bercanggah dengan semangat kerjasama yang dipersetujui dalam gabungan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button