PRN Negeri Sembilan: Sokongan anak muda kepada PH di DUN Kota semakin meningkat
REMBAU – Sokongan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, dilihat semakin memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH), Ustaz Alif Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memasuki fasa akhir.
Bagi Abd Halim Yunos, 41, berdasarkan pemerhatiannya, kempen pada peringkat awal lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN), namun situasi itu kini berubah apabila sokongan terhadap PH semakin meningkat.
Menurutnya, perubahan tersebut dapat dilihat terutama dalam kalangan pengundi muda yang semakin menunjukkan kecenderungan untuk menyokong calon PH.

“Pada mulanya saya melihat kempen di DUN Kota ini lebih kepada ‘biru’ (BN). Tetapi apabila masuk pertengahan kempen, saya nampak situasi berubah menjadi lebih seimbang dan anak-anak muda mula beralih menyokong kita (PH),” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau ditemui sempena program Pertandingan Futsal Tertutup DUN Kota di Kompleks Futsal Sungai Layang, Rembau semalam.
Abd Halim yang juga penganjur program itu berkata, walaupun mengenali semua calon yang bertanding, pilihannya tetap kepada Ustaz Alif kerana beliau mempunyai rekod berkhidmat sebagai penyelaras DUN Kota dan aktif bersama golongan belia.
Katanya, antara perkara yang memberi kesan kepada anak muda ialah penganjuran program sukan ketika PH mentadbir negeri sebelum ini.
“Saya memang minat sukan dan ramai kawan juga begitu. Dulu masa PH memerintah, ada Liga Sukan atau Liga Komuniti seperti Liga Menteri Besar yang menghimpunkan wakil setiap DUN. Program itu berlangsung setiap tahun.
“Tetapi selepas bersama UMNO (BN), aktiviti sukan itu semakin berkurangan. Itu menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi anak muda,” katanya.
Abd Halim turut berharap kempen pilihan raya berlangsung secara sihat tanpa unsur fitnah serta mendoakan kemenangan berpihak kepada Ustaz Alif pada hari pengundian nanti.
Sementara itu, seorang juruteknik, Arif Syahmi Hakim, 27, berharap calon PH diberi peluang untuk membawa pembangunan yang lebih baik kepada penduduk DUN Kota.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen, Ustaz Alif dilihat sering mendekati golongan belia dan mendengar sendiri pandangan mereka.
“Buat masa sekarang yang saya nampak, Ustaz Alif memang seorang yang dekat dengan pemuda. Banyak berjumpa dan banyak bertanya. Itu satu ciri yang baik untuk seorang wakil rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa golongan muda di DUN Kota supaya keluar mengundi pada 1 Ogos bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya harap semua pemuda di DUN Kota dapat keluar mengundi pada 1 Ogos supaya kita dapat menjalankan tanggungjawab bersama-sama,” katanya yang akan mengundi buat kali kedua.
Bagi penduduk Taman Seraya, Nur Hajar Suraya Saifuddin, 38, suasana kempen sepanjang PRN kali ini disifatkan meriah dan turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan.

Katanya, beliau mengenali Ustaz Alif melalui rakan-rakan dan menyukai pendekatan mesra yang dibawa calon PH itu.
“Kempen sangat bagus dan meriah di sini, malah membantu peniaga. Saya harap yang terbaik pada hari pengundian nanti dan semoga Ustaz Alif memperoleh kemenangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















