POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Pengundi muda teruja tunaikan tanggungjawab, seru rakan sebaya keluar mengundi

REMBAU – Suasana hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini menyaksikan keterujaan pengundi muda yang pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota.

Pelajar Diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, Nor Faezah Abdullah, 21, berkata, dia berasa teruja kerana berpeluang mengundi buat kali pertama.

pengundi
Nor Faezah teruja dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurutnya, pengalaman itu memberi makna besar sebagai seorang rakyat Negeri Sembilan yang dapat menyertai proses demokrasi negara.

Saya ikut ibu pergi mengundi pada sesi tengah hari di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan Pulau Besar. Alhamdulillah, beratur pun tidak lama,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune.

Nur Faizah berharap proses demokrasi yang berlangsung dapat memilih kerajaan negeri yang terbaik untuk mentadbir Negeri Sembilan.

Dia turut menyeru golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang mengundi dan memilih calon yang berkaliber sebagai pemimpin.

“Buat anak muda di luar sana, jom keluar mengundi untuk tunaikan tanggungjawab kita memilih calon yang berkaliber sebagai pemimpin,” katanya.

Sementara itu, pengundi kali keempat, Khamsiah Mohamad Nor, 40, berkata, dia bersyukur kerana masih diberi peluang melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.

Kakitangan kerajaan itu berkata masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menerima maklumat yang tersebar di media sosial, terutama dalam era teknologi tanpa batasan ketika ini.

“Dalam zaman teknologi yang tiada batasan ini, kita perlu bijak menapis maklumat yang tersebar di media sosial.

“Yang penting, tabayyun terlebih dahulu dan fikir secara rasional demi masa depan dan pembangunan negeri atau negara,” katanya.

PRN Negeri Sembilan berlangsung hari ini melibatkan 36 kerusi DUN, dengan pengundi di seluruh negeri keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button