PRN Negeri Sembilan: Aminuddin calon terbaik, wajar kekal sebagai Menteri Besar – Anwar
SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Datuk Seri Aminuddin Harun wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berdasarkan rekod pentadbiran, keikhlasan serta peribadi yang ditunjukkan sepanjang menerajui negeri itu.
Menurut Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyokong pertukaran kepimpinan sekiranya seseorang pemimpin gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik, namun perkara itu tidak berlaku dalam kes Aminuddin.
“Kalau dibangkitkan kelemahan ketara seperti tidak tahu bekerja, tidak turun padang, tidak peduli masalah rakyat, tiada ikhtiar baharu dan gagal menarik pelaburan, kita boleh pertimbangkan untuk tukar.
“Saya ada pengaruh dalam Pakatan Harapan untuk mengatakan cukup Aminuddin, terima kasih dan beri peluang kepada orang lain. Tetapi saya melihat rekod prestasi, keikhlasan, akhlak serta peribadinya, beliau adalah calon terbaik yang kita ada,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Bandar Senawang Taipan 2, di sini semalam.
Anwar berkata, sepanjang pemerhatiannya, Aminuddin berjaya memacu pembangunan negeri menerusi pelbagai program kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi serta usaha menarik pelaburan yang memberi manfaat kepada penduduk.
“Kemasukan pelaburan penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan khususnya untuk golongan muda.
“Pelaburan itu penting kerana jika tiada pelaburan, peluang pekerjaan juga tidak akan bertambah dan anak-anak muda akan berdepan kesukaran mendapatkan kerja,” katanya lagi.
Beliau turut memuji usaha kerajaan negeri dalam pembangunan institusi Islam termasuk pembinaan masjid baharu selain pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh isu yang dimainkan pihak tertentu berhubung naratif ‘kerajaan Melayu’.
Beliau berkata, dakwaan sedemikian perlu dinilai berdasarkan rekod dan prestasi pentadbiran parti-parti yang terlibat, bukannya bersandarkan persepsi semata-mata.
“Kerjasama PH termasuk dengan DAP perlu dilihat secara objektif berdasarkan prinsip serta rekod pentadbiran yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















