KPT santuni penduduk Kampung Tengah melalui Program MADANI
KLUANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendekati masyarakat menerusi Program Santuni MADANI Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2026 yang berlangsung di Kampung Tengah, di sini, selama dua hari bermula semalam.
KPT berkata, program berkenaan membawa semangat Malaysia MADANI lebih dekat kepada masyarakat menerusi penglibatan warga kementerian, institusi pendidikan tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Menurutnya, program yang dinaungi Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Aminuddin Hassim itu mengangkat tema “Memperkasa Komuniti Kampung Tengah, Kluang Melalui Sinergi Kementerian & Akar Umbi”.
“Program ini menjadi platform untuk menghubungkan warga kementerian dan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat menerusi penglibatan secara langsung serta kerjasama yang memberi manfaat kepada komuniti,” menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini.
Pelbagai pengisian disusun sepanjang program merangkumi aspek kerohanian, kemasyarakatan, kecergasan, rekreasi, pendidikan dan teknologi.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Semarak Subuh, solat berjemaah, tazkirah, ceramah khas agama serta Kenduri Rakyat dan Rewang.
Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-69, program turut menampilkan Jalan-jalan Jalur Gemilang sejauh tiga kilometer, berjalan pantas, senamrobik, sukaneka, petanque, memanah, dart dan permainan tradisional.
KPT berkata, golongan muda turut diberi perhatian menerusi Bengkel Robotik, Pertandingan FIRA Junior, e-sukan serta pertunjukan dron.
Pada masa sama, penduduk setempat berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan, pameran agensi, Jualan Rahmah MADANI serta perkhidmatan spa dan gunting rambut.
Program itu mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Waqaf An-Nur serta Jualan Rahmah MADANI.
Turut terlibat sebagai rakan strategik ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) serta UPUOnline®.
Menurut KPT lagi, program Santuni MADANI Ketua Setiausaha KPT Tahun 2026 memperlihatkan komitmen kementerian dalam memperkasakan komuniti melalui sinergi antara kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan masyarakat di peringkat akar umbi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








