BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC pelawa syarikat hantar draf pelan bagi inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa pemegang lesen yang layak mengemukakan draf pelan bagi pelaksanaan inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), projek strategik di bawah rangka kerja Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang bertujuan memperkukuh infrastruktur digital domestik negara.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif SALAM akan mewujudkan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sekali gus membentuk rangkaian komunikasi domestik yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Menurut suruhanjaya itu, projek berkenaan akan meningkatkan kapasiti rangkaian serta mempelbagaikan laluan sambungan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi yang lebih stabil di seluruh negara.

“Kabel dasar laut merupakan tulang belakang kepada sistem komunikasi digital moden kerana ia membawa sebahagian besar trafik data domestik dan antarabangsa.

“Dengan permintaan terhadap sambungan digital berkelajuan tinggi yang terus meningkat, pengukuhan infrastruktur kritikal ini amat penting bagi memastikan komunikasi yang selamat, boleh dipercayai dan tidak terganggu untuk sektor perniagaan, kerajaan serta orang awam,” menurut kenyataan tersebut.

MCMC berkata, sistem SALAM akan merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel (Cable Landing Station – CLS) yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran keseluruhan laluan sepanjang kira-kira 5,582 kilometer.

Katanya, sistem itu turut menyediakan laluan sambungan yang lebih pelbagai dari segi geografi bagi meningkatkan tahap sandaran rangkaian, mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan serta memperkukuh daya tahan keseluruhan rangkaian komunikasi negara.

Selain mempertingkatkan hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, SALAM dijangka menjadi tulang belakang sambungan domestik yang berkapasiti tinggi bagi menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G.

MCMC berkata, projek itu juga akan mempercepat pembangunan infrastruktur pengkomputeran awan, pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta industri digital baharu yang menjadi pemacu kepada ekonomi digital negara.

“Pelaksanaan SALAM akan menyokong agenda keterangkuman digital, memperkukuh ekonomi digital Malaysia serta meningkatkan daya tahan negara dalam jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, selaras dengan Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002, MCMC menjemput semua pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan Pendaftaran Minat (Registration of Interest) bersama Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat (Draft Universal Service Plan) bagi tujuan penilaian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button