BERITA SEMASA

Remaja maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas main futsal

KUALA SELANGOR – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang lampu untuk berehat selepas bermain futsal di Taman Pancaran, Bestari Jaya, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.32 malam memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang berehat selepas bermain futsal dipercayai memegang tiang lampu yang mempunyai arus elektrik sebelum rebah.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes kematian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa konsisten akibat renjatan elektrik. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Thiban Subbramaniam menerusi hantaran di Facebook berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil dan menyeluruh.

“MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) turut digesa untuk menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya agar keluarga mangsa mendapat jawapan dan keadilan yang sewajarnya.

“Pada masa sama, saya menyeru MPKS dan semua agensi berkaitan supaya segera menjalankan pemeriksaan terhadap kemudahan awam, khususnya tiang lampu dan sistem elektrik di kawasan rekreasi, gelanggang sukan serta lokasi awam lain,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button