BERITA SEMASADALAM NEGERI

Warga Pakistan maut dihempap pokok tumbang ketika tunggang motosikal

MUKAH – Ribut dan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan malam tadi mengakibatkan kejadian pokok tumbang sehingga meragut satu nyawa dan mencederakan tiga yang lain di dua lokasi berasingan.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok tumbang di Jalan Besar, Kampung Penat, di sini, kira-kira jam 8.30 malam.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Ishaq, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.04 malam.

“Susulan itu, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.47 malam oleh pihak KKM dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kanowit, seorang wanita bersama dua kanak-kanak cedera selepas kenderaan dinaiki mereka turut dihempap pokok di Rumah Panjang Inyang, Batu 8, Sungai Ranan.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.03 malam dan sepasukan anggota dari BBP Kanowit segera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Dua mangsa, iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun didapati terperangkap dalam kenderaan tersebut.

“Seorang lagi mangsa, kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button