Inkues Zara Qairina: Polis mohon bantuan MCMC insiden kebocoran maklumat saksi kanak-kanak
KOTA KINABALU – Polis sudah memohon bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan insiden berhubung kebocoran maklumat berkaitan seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, siasatan dijalankan selepas pihaknya mendapati kebocoran maklumat itu dikongsi di media sosial.
Beliau turut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes itu dilaporkan pada 19 September 2025 (Jumaat), kira-kira pukul 4.15 petang.
“Setakat ini, polis sudah merakam keterangan pengadu dan mengemukakan permohonan analisis kepada MCMC.
“Pada masa sama, polis berusaha mendapatkan keterangan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan peguam terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.
Kasim turut menegaskan, sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak, terutamanya melalui platform media sosial, adalah satu kesalahan serius yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.
Laporan media sebelum ini menyebut, prosiding inkues Jumaat lepas ditangguhkan selepas peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili saksi kanak-kanak itu, membangkitkan isu kebocoran maklumat di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.
Inkues selama 17 hari itu, yang memasuki hari ke-10 hari ini, dijangka membabitkan lebih 30 kanak-kanak daripada 68 saksi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








