BERITA SEMASA

Pengumpulan data telefon bimbit MNO: Tiada maklumat peribadi didedahkan, digunakan untuk hasilkan statistik rasmi- tegas MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tiada maklumat peribadi yang dikenal pasti (PII) diakses, diproses atau didedahkan susulan daripada pengumpulan data telefon bimbit (MPD) daripada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO).

Menurutnya dalam satu kenyataan, MPD digunakan secara ketat untuk penghasilan statistik rasmi bagi menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti dalam dua bidang utama.

“Pertama melibatkan sektor ICT, iaitu untuk menghasilkan statistik terperinci seperti bilangan langganan jalur lebar mudah alih yang aktif dan kadar penembusan di peringkat negeri, daerah, mukim, kawasan parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak berkuasa tempatan.

“Kedua, sektor pelancongan, untuk menghasilkan petunjuk seperti bilangan pelawat dan perjalanan pelancongan domestik.

“Data MPD yang diminta daripada MNO adalah tanpa nama dan tidak mengandungi sebarang PII,” katanya hari ini.

Di samping itu, katanya, MNO diberikan pilihan sama ada untuk memproses data MPD dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan menghantar output tanpa nama dan secara agregat yang diperlukan kepada MCMC.

Atau katanya, untuk MNO tanpa kemampuan pemprosesan dalaman, menghantar data tanpa nama kepada MCMC untuk pemprosesan.

“Dalam kedua-dua kes, tidak ada pelanggan individu yang boleh dikenal pasti melalui data yang dikumpul.

“Penggunaan MPD sebagai sumber statistik negara yang baru adalah arah strategik yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memperkuat kualiti dan ketepatan masa output statistik untuk tujuan dasar dan perancangan.

“Pelaksanaan MPD adalah melalui kerjasama dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Jawatankuasa Pakar PBB mengenai Data Besar dan Sains Data.

“Dalam dua tahun lalu, penglibatan yang meluas dengan semua MNO telah dijalankan untuk memastikan pemahaman bersama tentang keperluan data, proses dan langkah-langkah privasi,” katanya.

Katanya, ini termasuk penganjuran MPD National yang diadakan pada 2 hingga 5 September 2024 yang dihadiri oleh wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU); Kementerian Komunikasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta MNO (CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL).

Ujarnya, inisiatif itu selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan mencerminkan projek serupa yang telah dilaksanakan di negara seperti Indonesia dan Brazil, di mana data telekomunikasi yang dianonimkan digunakan untuk meningkatkan statistik negara sambil melindungi privasi pengguna dengan sepenuhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button