BERITA SEMASA

MCMC perketat pendaftaran SIM prabayar, terbit Laporan Siasatan Awam perangi penipuan digital

CYBERJAYA – Langkah memperkukuh keselamatan digital negara diperkasa dengan penerbitan Laporan Siasatan Awam berkaitan pendaftaran pengguna prabayar yang menjadi asas kepada pelaksanaan Standard Mandatori baharu bagi mengekang penipuan, penyalahgunaan kad SIM dan kecurian identiti.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, laporan itu diterbitkan selaras dengan Seksyen 65 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), hasil pelaksanaan Siasatan Awam di bawah Seksyen 55 dan 61 akta sama, susulan penerbitan Kertas Siasatan Awam pada 14 Oktober 2025.

Siasatan Awam tersebut dilaksanakan selama sekurang-kurangnya 45 hari sehingga 28 November 2025 dengan MCMC menerima sebanyak 15 penghujahan, terdiri daripada 10 daripada penyedia perkhidmatan dan lima daripada orang awam.

MCMC
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut MCMC, kelemahan dalam sistem pendaftaran prabayar sedia ada telah menyebabkan kad SIM disalahgunakan secara meluas khususnya bagi kegiatan penipuan dalam talian.

“Kelemahan pendaftaran ini telah membuka ruang kepada kewujudan kad SIM praaktif, pendaftaran palsu serta amalan tidak konsisten di pasaran sekali gus meningkatkan risiko keselamatan pengguna dan negara,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mekanisme pendaftaran kendiri yang bergantung kepada muat naik dokumen juga terdedah kepada pemalsuan dan kecurian identiti, manakala ketiadaan sistem identiti digital yang selamat mengehadkan aspek kebolehkesanan serta kebertanggungjawaban pengguna.

“Secara keseluruhan, kelemahan ini menimbulkan risiko ketara terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital.

“Justeru, ia memerlukan rangka kerja kawal selia yang lebih selamat, seragam dan boleh dikuatkuasakan,” jelas MCMC.

MCMC turut memberitahu, maklum balas daripada industri dan orang awam menunjukkan sokongan meluas terhadap keperluan memperketat proses pendaftaran prabayar bagi melindungi pengguna dan mengukuhkan keyakinan terhadap perkhidmatan digital.

Standard Mandatori yang dicadangkan memperkenalkan rangka kerja kawal selia yang lebih kukuh termasuk penggunaan platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik serta penetapan tanggungjawab lebih jelas terhadap penyedia perkhidmatan dan pengedar.

“Salah satu penambahbaikan utama ialah pengintegrasian MyDigital ID sebagai mekanisme pengesahan bagi pendaftaran kendiri khusus untuk individu yang memiliki MyDigital ID, selaras dengan inisiatif identiti digital nasional Kerajaan,” menurut MCMC.

Langkah itu katanya, akan menyediakan tahap jaminan keselamatan yang lebih tinggi sekali gus mengukuhkan integriti dan kebolehpercayaan proses pendaftaran kad SIM prabayar.

Laporan Siasatan Awam berkenaan kini boleh diakses di laman rasmi MCMC dan merangkumi semua maklum balas yang diterima, selain menggariskan penilaian akhir serta pendirian dasar MCMC terhadap Standard Mandatori tersebut.

“MCMC kekal komited terhadap pembangunan rangka kawal selia yang telus, berasaskan rundingan dan berpaksikan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah susulan, MCMC memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan dan mendaftarkan Standard Mandatori tersebut sebagai Penentuan Suruhanjaya mengikut Seksyen 55 dan 104(4) AKM 1998, bersama set Soalan Lazim (FAQ) menjelang akhir Februari 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button