
Apps MCMC NEXUS bantu rakyat nilai kualiti internet secara masa nyata
CYBERJAYA – Aplikasi MCMC NEXUS yang dilancarkan hari ini menjadi platform baharu dalam usaha memperkasa rakyat menilai kualiti rangkaian internet secara masa nyata di seluruh negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, aplikasi dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu membolehkan pengguna menguji kelajuan internet serta menyumbang data prestasi rangkaian di lokasi masing-masing.
Menurutnya, semua data yang dikumpulkan akan dihantar secara automatik kepada MCMC tanpa melibatkan sebarang maklumat peribadi pengguna.
“Melalui aplikasi ini, kita dapat mengenal pasti kawasan liputan lemah, kesesakan rangkaian serta isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat dan pantas,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, antara fungsi utama aplikasi itu termasuk ujian kelajuan internet, pemantauan liputan ketika pengguna bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain serta penilaian kualiti isyarat di dalam bangunan menerusi ciri ‘building survey’.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan data sebenar itu akan membantu MCMC melaksanakan penambahbaikan infrastruktur komunikasi secara lebih bersasar termasuk di kawasan luar bandar
.
Nie Ching turut berkata, semua data yang dikumpulkan adalah anonim dan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Jelasnya, inisiatif tersebut selaras dengan usaha merapatkan jurang digital serta memperkukuh pembangunan ekonomi digital negara yang lebih inklusif dan mampan.
Dalam perkembangan sama, MCMC turut menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Selain itu, kerjasama turut melibatkan pemain industri seperti ZUS Coffee dan Ninja Van dalam usaha memperluas penggunaan aplikasi serta meningkatkan capaian pengguna di seluruh negara.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







