Tukang urut warga asing maut terjatuh dari tingkat empat
JOHOR BAHRU – Seorang tukang urut wanita warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah rumah kedai di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, di sini kelmarin, dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3.48 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia 36 tahun itu dipercayai terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di premis tempatnya bekerja.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan mengalami pendarahan pada bahagian belakang kepala di belakang bangunan rumah kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan retak pada bahagian kepala, selain mangsa mengalami patah beberapa tulang rusuk,” katanya.
Ng berkata, polis masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan klasifikasi kes boleh berubah sekiranya laporan bedah siasat atau bukti baharu menunjukkan sebaliknya.
Buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








