Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang berhampiran balai bomba
ALOR SETAR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok tumbang dalam kejadian berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.15 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Radzi Abdul Talib bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Komander Operasi melaporkan kejadian membabitkan dua penunggang motosikal yang melalui kawasan berkenaan ketika pokok tumbang.
“Seorang mangsa, Ahmad Farazi Kasim, 51, yang menunggang salah satu motosikal dihempap pokok dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa berusia lingkungan 20-an yang menunggang motosikal lain terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Ismail berkata, kerja pembersihan pokok tumbang di jalan raya turut dilakukan oleh anggota bomba sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.53 tengah hari.
Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis di lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















