BERITA SEMASA

179 saman, 30 motosikal disita dalam operasi di BORR

BUTTERWORTH – Sebanyak 179 saman dikeluarkan manakala 30 motosikal disita dalam Operasi Bersepadu Motosikal di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, di sini dari petang Ahad hingga awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, operasi bermula jam 5 petang hingga 2 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 133 motosikal dan 145 individu bagi mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Daripada jumlah saman dikeluarkan, sebanyak 158 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 21 notis.

“Operasi itu dijalankan di BORR kerana ia sering menjadi tumpuan penunggang motosikal berkumpul. Tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu sebanyak 25 kes, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (24), tidak mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (17), pengubahsuaian struktur atau peralatan motosikal (16) serta aksesori tidak sempurna (16).

Kesalahan lain termasuk pengubahsuaian ekzos sebanyak 15 kes, tiada nombor pendaftaran (13), tiada cermin sisi (12), tiada perlindungan insurans (enam), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (enam), lesen memandu tamat tempoh (lima) dan brek tidak berfungsi dengan baik (tiga).

Anuar berkata, JPJ turut mengeluarkan lima notis teknikal, 14 notis saman dan dua notis sitaan terhadap motosikal yang diubah suai secara ekstrem.

“Kesemua 30 motosikal disita atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button