JIM tumpas kegiatan pelacuran tersusun, 57 ditahan
PUTRAJAYA – Kegiatan pelacuran yang dipercayai beroperasi secara tersusun sejak kira-kira setahun lalu dan mampu menjana pendapatan sehingga RM540,000 setahun ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di tiga lokasi sekitar Seremban, semalam.
Operasi yang bermula pukul 2 petang itu membawa kepada penahanan 57 individu berusia antara 19 hingga 65 tahun, termasuk tujuh lelaki tempatan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, turut ditahan ialah tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh, tiga lelaki Myanmar, 26 wanita Indonesia, lima wanita Bangladesh dan seorang wanita India.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kegiatan berkenaan dijalankan dengan menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian, mingguan atau bulanan.
“Siasatan mendapati kegiatan ini dijalankan dengan menempatkan wanita asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau bagi tempoh seminggu hingga sebulan.
“Premis ini dipercayai diurus dan dikawal warga tempatan serta warga asing yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, wanita warga asing terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tempatan dan warga asing dengan bayaran RM50.
“Kegiatan ini dipercayai beroperasi kira-kira setahun, dengan struktur pengurusan tersusun bagi memastikan kegiatan tersebut terus beroperasi dan dianggarkan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun,” katanya.
Dalam serbuan itu, pihak imigresen turut menemukan beberapa pasport Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit, kunci premis serta kondom.
Zakaria berkata, tujuh warga tempatan yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.
Operasi itu susulan maklumat awal berhubung penglibatan warga Indonesia dalam aktiviti tidak bermoral serta hasil risikan yang dijalankan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








