Op Tuah: LHDN mulakan operasi bersepadu di empat negeri
PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menyasarkan tindakan terhadap 1,829 kes melalui Operasi Pematuhan Cukai Peringkat Nasional, Op Tuah yang bermula serentak di empat negeri bermula hari ini.
LHDN dalam kenyataannya berkata, operasi bersepadu bagi meneruskan komitmen memperkukuh kutipan hasil negara itu dilakukan di empat negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis dengan keanggotaan 346 pegawai.
“Pelaksanaan Op Tuah memberi tumpuan kepada enam komponen utama iaitu aktiviti audit, kutipan, verifikasi pembayar cukai, pematuhan strategik, tindakan guaman serta program advokasi menerusi Mini Jelajah e-Invois.
“Antara sektor yang menjadi tumpuan termasuk industri kontraktor, pembinaan, pemaju hartanah, perkhidmatan pengangkutan, pengiklanan, pemborongan, kejuruteraan, pertanian, klinik perubatan, e-waste, rokok elektronik (vape) serta golongan profesional,” kata LHDN.
Majlis pelancaran Op Tuah di Menara LHDN, Melaka itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli.

Turut hadir Ketua Pegawai Pematuhan Cukai, Mohamad Fauzi Saat; Ketua Pegawai Siasatan, Datuk Azhar Husin; Pengarah LHDN Melaka, Mohd Shahriz Ramli serta barisan kepimpinan tertinggi agensi itu.
Dalam ucapannya, Datuk Hisham berkata, pendekatan bersepadu dan rentas fungsi itu membuktikan komitmen berterusan LHDN dalam menegakkan integriti sistem percukaian negara.
“Op Tuah bukan sekadar operasi penguatkuasaan, ia juga menjadi medan mendidik pembayar cukai mengenai tanggungjawab mereka, selaras dengan agenda memperkukuh ekosistem percukaian yang adil dan telus,” katanya.
Beliau berkata, seiring usaha ke arah pendigitalan sistem percukaian negara, operasi kali ini turut memanfaatkan Mini Jelajah e-Invois bagi meningkatkan kesedaran pembayar cukai mengenai pelaksanaan sistem e-Invois yang akan diperluas secara berperingkat mulai tahun ini.
Inisiatif itu katanya dilihat penting dalam memastikan kelancaran peralihan ke arah sistem percukaian digital yang lebih moden, responsif dan efisien.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








