Lima warga Itali maut ketika selam skuba di Maldives
ROME – Lima warga Itali maut dalam satu kemalangan ketika melakukan aktiviti selam skuba di Vaavu Atoll, Maldives, menurut kenyataan Kementerian Luar Itali di Rome.
“Kumpulan penyelam itu dipercayai maut ketika cuba meneroka gua pada kedalaman kira-kira 50 meter,” menurut kementerian tersebut.
Tentera Maldives memaklumkan satu mayat ditemukan di dalam gua pada kedalaman sekitar 60 meter bawah laut, manakala empat lagi mangsa dipercayai masih berada di lokasi sama.
Menurut pihak berkuasa, pasukan penyelam dengan peralatan khas telah dihantar ke kawasan berkenaan, namun operasi mencari dan menyelamat disifatkan sebagai berisiko tinggi.
Insiden itu dipercayai menjadi kemalangan selam skuba terburuk pernah berlaku di negara kepulauan Lautan Hindi tersebut yang terkenal sebagai destinasi selam skuba popular kerana gugusan batu karangnya.
Media tempatan melaporkan kelima-lima warga Itali itu memasuki air pada pagi Khamis sebelum kru bot selaman yang mereka naiki melaporkan kehilangan mereka selepas gagal timbul semula ke permukaan.
Polis berkata, keadaan cuaca di kawasan kira-kira 100 kilometer di selatan ibu negara Malé itu agak buruk sehingga amaran kuning dikeluarkan kepada bot penumpang dan nelayan.
Universiti Genoa kemudian mengesahkan antara mangsa yang terkorban ialah seorang profesor biologi marin, anak perempuannya serta dua penyelidik muda.
Menerusi kenyataan di platform X, universiti berkenaan menyampaikan ucapan takziah mendalam kepada keluarga mangsa.
Kemalangan melibatkan aktiviti selam skuba dan snorkeling jarang berlaku di Maldives, namun beberapa kes maut pernah direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Disember tahun lalu, seorang penyelam wanita warga Britain yang berpengalaman maut dalam insiden selam skuba berhampiran resort pulau Ellaidhoo, manakala suaminya meninggal dunia lima hari kemudian akibat jatuh sakit.
Pada 2024, seorang ahli politik Jepun turut dilaporkan maut ketika melakukan aktiviti snorkeling di Lhaviyani Atoll.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















