Tidak disedari di belakang kereta, kanak-kanak dua tahun maut dilanggar bapa
MUAR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dirempuh kereta yang dipandu bapanya sendiri ketika kenderaan itu diundurkan di Tragedi Taman Kesang Baru, Parit Bunga di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dipercayai berada di belakang kenderaan tanpa disedari, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, pada jam 7.30 malam hari sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati bapa mangsa yang berusia lingkungan 30-an sedang mengalihkan kenderaan dengan mengundurkan kereta di kawasan kediaman berkenaan.
Menurutnya, pemandu terbabit berasa seolah-olah terlanggar sesuatu di bahagian belakang kenderaan sebelum segera memberhentikan kereta.
“Siasatan mendapati kanak-kanak itu dipercayai keluar dari rumah secara tiba-tiba dan berada di belakang kereta ketika kejadian berlaku, tanpa disedari bapanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836 bagi membantu melengkapkan siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








