Wanita trauma, dimalukan menerusi siaran langsung TikTok
KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 30-an mengalami trauma selepas menjadi mangsa penghinaan dalam satu siaran langsung di platform TikTok yang tular baru-baru ini.
Mangsa, yang enggan dikenali, mendakwa dirinya menjadi sasaran cemuhan dan kata-kata kesat oleh seorang individu yang dikenali sebagai ‘Abe’ dalam siaran langsung tersebut.
Insiden itu dipercayai berlaku pada hujung minggu lalu dan telah menarik perhatian ramai pengguna media sosial.
Menurut mangsa, tindakan tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruahnya tetapi turut memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya.
Beliau kini sedang mendapatkan kaunseling bagi mengatasi trauma yang dialaminya.
“Saya tidak menyangka akan menjadi mangsa penghinaan sebegitu di hadapan khalayak ramai.
“Ia benar-benar memberi kesan kepada emosi dan keyakinan diri saya,” katanya memetik laporan BH online.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden tersebut dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan laporan telah dibuat dan individu terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Kami memandang serius kes ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







