Polis rampas 130 unit vape disyaki mengandungi cecair Syabu
BUKIT MERTAJAM – Polis merampas 130 unit bekas rokok elektronik atau vape yang mengandungi cecair dipercayai dadah jenis Syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Minyak, di sini, malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, dalam serbuan jam 10.20 malam itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, serbuan dijalankan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
“Pemeriksaan polis dalam rumah yang didiami seorang lelaki menjumpai 130 unit ‘vape catridge’ (bekas rokok elektronik) lutsinar yang setiap satu berisi cecair disyaki dadah jenis Syabu dianggarkan seberat 4,550 gram (g) atau 4,550 milimeter (ml).
“Nilai pasaran dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM45,500 yang boleh digunakan oleh seramai 300 orang penagih dadah.
“Selain rampasan dadah, polis turut mengambil tindakan sitaan dengan menyita dua kereta serta pelbagai barangan kemas yang bernilai RM429,500 yang menjadikan nilai keseluruhan termasuk dadah berjumlah RM475,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu telah bergiat aktif sejak dua bulan lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati negatif dadah.
“Suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan satu rekod lampau kes dadah,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari hingga 10 Januari depan.
Kes disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








