JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek pedofil ditahan di Johor, lima kanak-kanak berjaya diselamatkan

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pedofilia selepas dipercayai merogol, meliwat dan mencabul lima kanak-kanak dalam satu operasi khas di Pasir Gudang bulan lalu.

Kanak-kanak terbabit terdiri daripada tiga perempuan dan dua lelaki berusia antara dua bulan hingga lima tahun, diselamatkan dari rumah suspek dalam operasi dinamakan Op Pedo yang dijalankan antara 19 Julai hingga 19 Ogos.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, siasatan mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibeli suspek selepas dia menawarkan pengambilan bayi melalui iklan di Facebook.

“Suspek didapati membayar antara RM1,500 hingga RM3,000 kepada wanita hamil hampir bersalin serta menanggung kos perubatan mereka.

Selepas berjaya mendaftarkan bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hubungan dengan ibu kandung akan diputuskan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, kelmarin.

Beliau tidak menolak kemungkinan salah seorang daripada kanak-kanak itu adalah anak kandung suspek sendiri selepas polis menemui ratusan rakaman dan gambar eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) yang turut memaparkan dirinya.

Turut dirampas ialah dokumen asal termasuk sijil kelahiran, MyKad, buku rekod kesihatan ibu dan anak serta borang kosong pendaftaran kelahiran dari JPN.

Kumar berkata, operasi ini bermula selepas pihak polis menerima maklumat daripada agensi antarabangsa berhubung penyebaran bahan lucah kanak-kanak di laman gelap (dark web) dan aplikasi Telegram.

Berikutan itu, pasukan khas digerakkan melibatkan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, D11 Johor dan Unit Jenayah Siber Kanak-Kanak (MICAC).

Dalam siasatan susulan, polis turut menahan 10 individu lain dalam serbuan berasingan di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki Myanmar, empat wanita tempatan, dua wanita warga tempatan lain serta seorang wanita keturunan Suluk yang belum dikenal pasti kewarganegaraannya.

Kesemua mereka yang berusia 25 hingga 60 tahun, dipercayai berperanan sebagai pengasuh, dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan turut mendapati suspek melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak di kawasan perumahannya.

Tiga mangsa perempuan berusia antara lima hingga tujuh tahun dikenal pasti, dan keluarga mereka hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan polis.

Setakat ini, lima kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara. Suspek kini berdepan tujuh pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, termasuk Seksyen 5 kerana serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dua lagi pertuduhan melibatkan Seksyen 14(a) kerana menghasilkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dan Seksyen 14(d) kerana mengedar atau menyebarkan bahan tersebut.

Semalam, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas lima pertuduhan berkaitan jenayah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button