RENCANA

27 tahun terpisah, Reunion Geng SKC/SMKL 1982 hidupkan semula nostalgia dan eratkan ukhuwah

MASA mungkin mengubah usia, kerjaya dan kehidupan seseorang, namun kenangan yang tercipta di bangku sekolah tetap kekal segar dalam ingatan.

Perasaan itu jelas terpancar pada wajah hampir 100 bekas pelajar bersama ahli keluarga yang berhimpun dalam Reunion Geng 1982 (SPM 1999) di Dewan Seri Muafakat, Sekolah Kebangsaan (Felda) Chemplak, di Labis, Johor, baru-baru ini.

Pertemuan selepas 27 tahun itu bukan sekadar mengumpulkan semula rakan-rakan lama, malah menjadi medan menghidupkan kembali nostalgia zaman kanak-kanak dan remaja yang pernah dilalui bersama sepanjang menuntut di Sekolah Kebangsaan (Felda) Chemplak (SKC) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Labis (SMKL).

reunion
Sebahagian bekas pelajar lelaki (gambar atas) dan perempuan (bawah) yang hadir pada majlis reunion tersebut.

Bekas pelajar hadir dari pelbagai negeri termasuk Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang, malah ada yang merancang perjalanan lebih awal semata-mata mahu bertemu semula sahabat yang sudah puluhan tahun tidak bersua.

Majlis yang mengambil masa lebih setahun untuk dirancang itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Reunion Geng 1982 di bawah pimpinan Pengerusi, Suhaila Marsan, selain turut menghimpunkan beberapa mantan guru yang pernah mendidik dan membimbing mereka sehingga berjaya dalam kehidupan.

Menurut Suhaila, idea menganjurkan reunion tersebut lahir daripada keinginan untuk memastikan ikatan persahabatan yang terbina sejak kecil terus kekal utuh meskipun masing-masing kini membawa haluan kehidupan yang berbeza.

reunion
Antara bekas guru yang hadir ialah Cikgu Noor Hashimah Hassan, Cikgu Turaman dan isteri; Cikgu Masran, Cikgu Jaman dan Cikgu Dzulkifli.

“Walaupun masing-masing kini mempunyai kerjaya, keluarga dan kehidupan sendiri, kami percaya persahabatan yang dibina sejak zaman sekolah tidak sepatutnya berakhir begitu sahaja.

“Reunion ini bukan sekadar untuk bertemu semula, tetapi menjadi ruang menghargai jasa guru-guru, mengimbau kenangan indah dan mengukuhkan semula ukhuwah yang telah terjalin sejak puluhan tahun lalu,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Bagi ramai bekas pelajar, kehadiran guru-guru menjadi detik paling menyentuh hati apabila mereka berpeluang mengucapkan terima kasih secara langsung kepada insan yang banyak membentuk perjalanan hidup mereka.

reunion
Gelagat bekas pelajar lelaki ketika menyertai pertandingan memakai sampin.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video nostalgia yang memaparkan gambar-gambar lama, selain pelbagai aktiviti santai seperti permainan berkumpulan, cabutan bertuah, sesi bergambar dan jamuan yang mengeratkan lagi hubungan antara semua yang hadir.

Lebih bermakna, program itu turut membawa nilai memberi kembali kepada alma mater apabila jawatankuasa menyerahkan sumbangan sebanyak RM500 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (Felda) Chemplak.

Sementara itu, urusetia majlis, Norliza Jamaludin mengakui kejayaan penganjuran reunion berkenaan cukup menyentuh emosinya selepas lebih setahun membuat persiapan.

reunion
Suhaila (kiri) menyampaikan sumbangan bernilai RM500 kepada pihak sekolah dan cenderahati kepada Guru Besar serta YDP PIBG.

“Sejujurnya, saya hampir menitiskan air mata apabila melihat impian yang dirancang lebih setahun akhirnya menjadi kenyataan. Saat sahabat-sahabat yang sudah berpuluh tahun tidak bersua saling berpelukan, bergelak ketawa dan mengimbau kenangan bersama, saya benar-benar tersentuh.

“Ketika itu saya merasakan segala penat lelah, cabaran dan pengorbanan sepanjang menguruskan majlis ini akhirnya terbayar. Melihat senyuman serta kegembiraan pada wajah setiap yang hadir merupakan hadiah dan kepuasan paling bermakna buat saya,” katanya.

Bendahari program, Nor Wahiza A. Latip pula berkata, amanah menguruskan kewangan sepanjang tempoh setahun memerlukan ketelusan bagi memastikan setiap sumbangan digunakan sebaik mungkin.

reunion
Barisan AJK program Reunion Geng 1982 SKC/SMKL yang berjaya melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.

“Menjadi bendahari selama setahun bukan mudah. Saya perlu memastikan setiap wang yang dikumpulkan diurus secara jujur dan amanah demi menjayakan reunion ini.

“Apabila hasilnya jauh melebihi jangkaan, saya sangat teruja kerana rakan-rakan pulang bukan dengan tangan kosong. Masing-masing membawa pulang hadiah cabutan bertuah dan cenderahati yang berbaloi hasil kutipan reunion. Melihat mereka gembira menjadi antara objektif utama kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi jawatankuasa, Affandi Masran atau lebih dikenali sebagai ‘Etto’, bersyukur kerana berpeluang berkongsi rezeki hasil perniagaannya bersama rakan-rakan lama.

“Reunion kali ini memberi makna yang cukup istimewa buat saya. Selain dapat bertemu semula rakan-rakan sekolah selepas sekian lama, saya juga berpeluang berkongsi sedikit rezeki melalui cendol yang saya usahakan.

“Melihat mereka menikmati cendol sambil bergelak ketawa mengimbau kenangan lama adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.

reunion
Affandi atau lebih dikenali sebagai Etto bersyukur kerana berpeluang berkongsi rezeki perniagaan cendolnya bersama rakan-rakan lama.

Menurut Suhaila, kejayaan penganjuran majlis tersebut merupakan hasil kerjasama erat semua ahli jawatankuasa, rakan seangkatan serta penaja yang memberikan komitmen sejak peringkat awal perancangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar SK (Felda) Chemplak, Mohd Ali Hadoon @ Adon, Yang Dipertua PIBG, Hamrin Paimin serta semua pihak yang membantu menjayakan program berkenaan.

Bagi mantan guru yang hadir, reunion itu membuktikan nilai persahabatan, rasa hormat terhadap guru dan semangat kekeluargaan masih utuh dalam kalangan bekas pelajar walaupun hampir tiga dekad berlalu.

Pertemuan tersebut turut membuka ruang kepada bekas pelajar untuk saling bertanya khabar, berkongsi perjalanan hidup serta merancang pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang boleh dilaksanakan bersama pada masa hadapan.

Lebih daripada sekadar sebuah pertemuan, Reunion Geng 1982 membuktikan bahawa sekolah bukan sahaja tempat menimba ilmu, malah menjadi medan yang melahirkan persahabatan sejati serta kenangan yang kekal sepanjang hayat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button