Pelantikan MB ikut proses, dakwaan wujud campur tangan tidak berasas – Zahid
PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan dibuat mengikut proses ditetapkan, sekali gus menolak dakwaan wujud campur tangan luar dalam urusan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan yang dilemparkan Pengerusi Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Tan Sri Dr Rais Yatim berhubung perkara itu sebagai ‘kenyanyukan’ seseorang yang tidak memahami realiti politik.
Menurutnya, sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau sememangnya bertanggungjawab mengemukakan watikah serta cadangan nama calon Menteri Besar kepada pihak istana.
“Saya tidak mahu melayan kenyanyukan seseorang yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak istana.
“Sebagai Pengerusi BN (Barisan Nasional), tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.
Baca juga : BN nyata hasrat pertahan 21 kerusi DUN Melaka, terbuka rundingan
Rais sebelum ini dilaporkan mempersoalkan urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan termasuk mendakwa wujud campur tangan pihak luar dalam urusan adat dan perlembagaan negeri berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sekiranya tanggungjawabnya sebagai Pengerusi BN dianggap sebagai campur tangan pihak luar, dakwaan itu adalah tidak berasas.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan dakwaan kononnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) akan dilantik menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.
“Tidak akan pernah ada,” katanya ringkas.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Terdahulu, Ismail memaklumkan pihaknya sedang memuktamadkan senarai barisan EXCO dengan pengumuman mengenainya dijangka dibuat pada Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








