POLITIK

Bukan langkah ‘tebuk atap’

SEREMBAN – Tindakan 14 ADUN UMNO menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan satu langkah ‘tebuk atap’.

Menurut ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, tindakan sedemikian dibuat bagi mempertahankan prinsip parti serta mengelakkan campur tangan politik dalam hal berkaitan institusi raja dan adat.

Beliau menegaskan, tindakan menarik sokongan itu dibuat selepas meneliti kemelut membabitkan institusi adat dan Perlembagaan yang gagal ditangani pentadbiran negeri hingga mencetuskan perdebatan terbuka termasuk di media sosial.

“Isunya ialah kegagalan Menteri Besar untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan institusi, adat dan Perlembagaan sehingga membawa kepada kemelut krisis diraja sekarang dan soal dewan ditangguh atau tidak itu soal lain.

“Tebuk atap maknanya ialah daripada menjadi pembangkang nak jadi kerajaan; sekarang kita (dalam) kerajaan, tak ada sebab kita nak tebuk atap.

“(Tindakan) ini demi mempertahankan prinsip perjuangan parti,” katanya dalam satu sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri seterusnya berkata, dia menolak dakwaan langkah itu sebagai strategi politik terancang untuk menumbangkan Menteri Besar atau kerajaan negeri.

Malah katanya, jika BN berniat untuk mengambil langkah itu, gabungan itu mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian lebih awal.

Dalam perkembangan berkaitan, Jalaluddin turut mencadangkan supaya satu sidang DUN khas dipanggil segera bagi menangani kemelut politik yang melanda negeri itu.

Beliau berkata, jika sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan, ia dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu.

“Sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button