MB Negeri Sembilan sahkan kenyataan MMK negeri berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz
SEREMBAN – Kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan semalam berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, adalah sah.
Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang menambah, perkara itu diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli MMK dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin, lapor UM Online.
Beliau turut memberitahu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim telah diminta untuk meneruskan proses pewartaan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut peraturan sedia ada.
“Pada hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli Exco kerajaan negeri secara sebulat suara pada Mesyuarat Exco 15 September lalu.
“Proses pewartaan, sudah pun Exco minta setiausaha kerajaan untuk meneruskan dengan pewartaan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Siswazah Kelas Pertama di sini, hari ini.
Laporan media semalam menyebut, MMK negeri dalam kenyataan mengumumkan Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta oleh Undang Yang Empat manakala Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan itu, keputusan itu dicapai secara kolektif dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ismail, Selala lepas.
Kenyataan berkenaan menyebut semua Exco kerajaan negeri bersetuju bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz pada April lalu adalah sah dengan Proklamasi Penurunan Takhta bertarikh 19 April ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
Proklamasi itu kemudiannya ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu sekali gus menjadikannya sempurna menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








