Kebolehgajian graduan TVET cecah lebih 95 peratus, kejuruteraan kekal bidang dominan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus membuktikan keberkesanannya sebagai laluan kerjaya berimpak tinggi apabila kadar bekerja graduannya pada 2024 direkodkan melebihi 95 peratus, sekali gus memperlihatkan permintaan industri yang kukuh terhadap tenaga mahir tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar kebolehgajian tinggi itu melibatkan graduan dalam pelbagai bidang utama termasuk kejuruteraan; pembuatan dan pembinaan; teknologi maklumat dan komunikasi; perniagaan, pentadbiran dan perundangan; sastera dan kemanusiaan serta perkhidmatan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan, peratusan tersebut bagaimanapun tidak termasuk graduan daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Menurutnya, berdasarkan Data Raya TVET, bidang kejuruteraan kekal sebagai kursus utama dalam ekosistem TVET dengan peratusan penyertaan sekitar 21 hingga 23 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.
“Ini diikuti bidang pembinaan dengan penyertaan antara 15 hingga 17 peratus, serta teknologi maklumat sekitar tujuh hingga sembilan peratus.
“Bidang automotif, hospitaliti dan pertanian masing-masing mencatat peratusan yang lebih kecil manakala kategori lain-lain merangkumi pelbagai bidang pengajian bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pelbagai dan dinamik.
“Dari sudut pecahan pelajar TVET mengikut bidang pengajian, kejuruteraan dan pembinaan mencatat penyertaan tertinggi, diikuti automotif, teknologi maklumat, hospitaliti dan pertanian,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai peratusan kursus dan pelajar TVET mengikut bidang pengajian serta kadar kebolehgajian graduan dalam bidang berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








