Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara perkukuh kerjasama Malaysia–Brunei
PUTRAJAYA – Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) sebagai platform tertinggi dalam menyelaras tadbir urus dan kesiapsiagaan bencana negara menjadi antara fokus utama dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkasa pengurusan bencana secara lebih menyeluruh dan bersepadu, sekali gus membuka ruang kerjasama strategik dengan negara jiran.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman di Bangunan Perdana Putra, di sini, sempena lawatan kerja delegasi negara berkenaan dari 8 hingga 10 April.
“Kunjungan ini merupakan manifestasi hubungan persahabatan yang erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang berteraskan persamaan sejarah, budaya, bahasa serta hubungan kekeluargaan yang rapat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain memperkenalkan penubuhan majlis tersebut, Ahmad Zahid turut berkongsi mengenai Bulan Kesiapsiagaan Nasional iaitu gerakan berterusan bagi menyemai budaya siaga dalam kalangan rakyat di semua peringkat untuk mendepani sebarang risiko dan cabaran bencana.
“Pertemuan ini memfokuskan kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pengurusan bencana meliputi perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti dan latihan bersama.
“Kunjungan ini juga memberi peluang kepada delegasi Brunei meninjau kemudahan di Pusat Simulasi Bencana di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi meneroka peluang penganjuran latihan bersama pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama strategik itu dilaksanakan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Pengurusan Bencana yang ditandatangani pada 5 April 2021 semasa Konsultasi Tahunan ke-23 di Bandar Seri Begawan.
Sejak tahun 2022, mesyuarat dua hala antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei telah berjaya menyelaraskan pelbagai aktiviti kerjasama.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia melalui Pasukan SMART komited untuk memberikan sokongan penuh kepada Brunei dalam usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa INSARAG External Classification (IEC), termasuk berkongsi kepakaran dan bimbingan teknikal dalam penilaian keupayaan Urban Search and Rescue (USAR).
Kedua-dua negara juga bersetuju menekankan kepentingan pelaksanaan latihan sepadu pengurusan bencana rentas sempadan secara berkala memandangkan Malaysia dan Brunei berkongsi sempadan darat yang panjang.
“Usaha membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan bencana rentas sempadan sedang giat dijalankan bagi memastikan tindak balas yang terselaras, pantas dan berkesan.
“Selain itu, kami menyambut baik cadangan untuk menghidupkan semula latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) bagi memperkukuh keupayaan agensi tindak balas kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berharap momentum kerjasama ini akan diteruskan melalui Mesyuarat Bilateral Kali Kelima antara NADMA dan NDMC yang dijadualkan berlangsung di Langkawi pada Julai depan.
“Kerjasama erat ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, malah menyumbang kepada pengukuhan kesiapsiagaan bencana di peringkat serantau selaras dengan wawasan Komuniti ASEAN 2025,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








