Pelajar cemerlang SPM 2023 ikuti Tuisyen Rakyat Risda @ KKDW zahir ucapan terima kasih
KUALA LUMPUR – Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 selepas mengikuti Program Tuisyen Rakyat menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) atas inisiatif pelajaran tambahan itu.
Salah seorang pelajar, Ahmad Adam Qayyum Ismail menyifatkan inisiatif tuisyen tersebut telah banyak membantunya khususnya dalam mendapat pemahaman dan penguasaan dalam subjek-subjek utama.
Ahmad yang meraih 12A dalam SPM menyifatkan tenaga pengajar Program Tuisyen Rakyat Risda telah memberikan tunjuk ajar dengan baik dalam pelbagai subjek, sekali gus mendorongnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam SPM.
“Tenaga pengajar Program Tuisyen Rakyat Risda sangat berkualiti dan telah banyak membantu saya sehingga saya boleh mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM.
“Terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Risda kerana menyediakan bantuan ini dan saya harap tuisyen ini akan diteruskan agar pelajar-pelajar lain mendapat manfaat yang sama,” katanya.
Pelajar tersebut berkata demikian ketika ditemui Malaysia Tribune selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat Risda Tahun 2023 di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Risda, Manndzri Nasib.
Sebagai rekod, seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun 2023.
Program Tuisyen Rakyat merupakan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kalangan pelajar luar bandar, khususnya anak-anak pekebun kecil di bawah Risda.
Melalui program ini, kelas tambahan disediakan untuk membantu pelajar menghadapi peperiksaan SPM memfokuskan lima mata pelajaran teras iaitu matematik, sains, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan sejarah.
@malaysiatribune Pelajar-pelajar yang yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) atas inisiatif menyediakan Tuisyen Rakyat Risda. #malaysiatribune #risda #kkdw #zahidhamidi #spm
Dalam ucapan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau mahu pencapaian anak pekebun Risda yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat pada tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu.
Ahmad Zahid juga berkata, Risda perlu meraikan kecemerlangan pelajar bukan sekadar dengan jumlah A yang diraih pelajar sebaliknya motivasi untuk mereka terus maju dan berjaya.
“Dengan peruntukan yang ada, saya sendiri akan terus meneroka kerjasama dengan universiti awam agar pelajar-pelajar ini diberi pendedahan seawal mungkin untuk mengejar masa depan mereka,” katanya.

Joylenne Lua Balang yang berasal dari Lawas, Sarawak juga pelajar cemerlang SPM, turut menzahirkan penghargaan kepada KKDW dan Risda atas inisiatif yang telah diberikan untuk manfaat pelajar di kawasan pedalaman sepertinya.
“Program Tuisyen Rakyat Risda sangat membantu kerana pihak Risda juga memberikan buku latihan percuma serta bantuan alat tulis.
“Terima kasih kepada Risda dan KKDW kerana telah menganjurkan program ini dan Pusat Tuisyen Rakyat Risda,” ujar Joylenne yang meraih 9A dalam SPM.
Joylenne bakal melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang dalam kursus Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







