Zahid seru jentera BN perkukuh kesepaduan hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar memperkukuhkan kesepaduan dan semangat kerja berpasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka menjadi medan penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menerusi satu hantaran di Facebook, Zahid melahirkan keyakinan bahawa gerak kerja yang dilakukan secara ikhlas dan tersusun akan diterjemahkan sebagai nilai positif oleh rakyat.
“Insya-Allah. Kita bersiap sedia menempuh PRN Johor dan Negeri Sembilan, bersama.
“Saya yakin, dengan kesepaduan dan keikhlasan pasukan BN ini, gerak kerja kita akan diterjemahkan sebagai nilai yang baik di mata rakyat.
“Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan oleh-Nya jua,” katanya.
Johor dan Negeri Sembilan merupakan antara kubu tradisi BN yang mempunyai kepentingan strategik dalam landskap politik negara.
Pada PRN Johor 2022, BN mencatat kemenangan besar apabila memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Di Negeri Sembilan pula, gabungan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan BN berjaya mengekalkan pentadbiran negeri pada PRN 2023 apabila menguasai majoriti kerusi DUN.
Hantaran Zahid itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada penyokong dan pengguna media sosial.
“Alhamdulillah, tiada kutuk-mengutuk atau memperlekeh parti lawan. Tahniah BN,” komen Md Shakirin Abd Razak.
“Insya-Allah. Alhamdulillah, UMNO yang terbaik,” tulis Anuar Mohamed Hasan pula.
PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan, manakala PRN Negeri Sembilan akan pada 1 Ogos ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








